Sign In
faceboook twitter instagram rss
Manage PermissionsManage Permissions
Ahli-ahli MMN lawat EGNC
Ahli-ahli MMN diberikan penerangan mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) semasa lawatan kerja tersebut, kelmarin.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Dengan matlamat untuk melihat lebih dekat lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), rombongan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan kerja ke pusat berkenaan di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk melihat lebih dekat lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan sebagai persediaan bagi sesi muzakarah ahli-ahli MMN dengan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi pada awal 2021.

Pada lawatan berkenaan, Pengarah EGNC, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani dalam kata alu-aluannya memberikan penerangan ringkas mengenai penubuhan pusat tersebut.

Semasa lawatan itu, rombongan ahli MMN berkesempatan untuk mengetahui lebih dekat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan iaitu Pusat Data E-Kerajaan (Data Centre) di mana ia merupakan ruang khusus bagi penempatan fizikal sistem-sistem komputer dan komponen yang berkaitan dengan projek E-Kerajaan secara pusat.

Pusat data itu dilengkapi dengan fasiliti-fasiliti seperti kawalan sekuriti fizikal yang ketat, Uninterruptible Power Supply (UPS), sistem pendingin dan sistem pemadam kebakaran.

Selain itu, One Government Private Cloud (OGPC) iaitu perkhidmatan yang menggunakan teknologi virtualization khusus untuk projek-projek E-Kerajaan.

One Government Network (OGN) pula adalah infrastruktur rangkaian satu kerajaan yang khusus dan selamat menghubungkan agensi-agensi kerajaan di seluruh negara kepada perkhidmatan-perkhidmatan e-kerajaan yang berintegrasi serta perkhidmatan internet yang dikawal melalui central gateway di EGNC.

National Centralised Database (NCDB) pula menawarkan perkhidmatan Pangkalan Data sebagai perkhidmatan iaitu perkhidmatan yang menyediakan infrastruktur pangkalan data bagi penempatan semua pangkalan data daripada projek-projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 dan projek-projek yang memerlukan penambahbaikan atau Technology Refresh.

Dengan adanya perkhidmatan itu, ia dijangka akan memberikan impak yang besar daripada segi kos pembelian perisian dan pemeliharaan yang lebih ekonomi dan efisien dibandingkan pembelian perisian secara silo.

Brunei Open Data (data.gov.bn) iaitu portal data.gov.bn telah diperkenalkan bagi menyokong inisiatif Open Data di Negara Brunei Darussalam. Ia membolehkan agensi-agensi kerajaan untuk berkongsi maklumat yang tidak sensitif dengan orang ramai, memudahkan agensi-agensi untuk mengakses data atau dimuat turun oleh pihak yang memerlukan secara percuma dalam atas talian.

Di samping itu, pihak EGNC juga sedang melaksanakan projek Hab Maklumat Kebangsaan (NIH) yang menyediakan platform pengintegrasian maklumat antara jabatan-jabatan kerajaan dalam mendukung inisiatif perkongsian maklumat.

Kemudahan lain yang ditawarkan adalah perkhidmatan Talian Darussalam 123 iaitu pusat panggilan kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam yang beroperasi 24 jam sehari bagi mendukung perkhidmatan-perkhidmatan berbentuk bukan kecemasan (non-emergency) di agensi-agensi kerajaan.

Satu lagi kemudahan ialah Portal GOV.BN (www.gov.bn) di mana sebanyak 129 e-perkhidmatan telah diperkenalkan daripada 34 sistem e-kerajaan boleh diakses melalui portal GOV.BN. Orang ramai juga boleh mendaftar akaun e-darussalam secara dalam talian melalui portal itu.

Selain itu, terdapat 20 aplikasi mudah alih (mobile apps) kerajaan juga boleh diakses dan dimuat turun melalui portal berkenaan.

EGNC ditubuhkan pada 1 April 2008 dan merupakan jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Jabatan itu juga memberikan perkhidmatan-perkhidmatan pemerolehan dan sumber tenaga manusia di bidang IT yang berkaitan dengan inisiatif e-kerajaan.


Ihsan daripada Media Permata

Attachments