Sign In
faceboook twitter instagram rss
Manage PermissionsManage Permissions
Talian Darussalam 123 perkenal ‘Live Chat’ dan ‘Mobile App’
Okt 21, 2016


BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Dalam usaha berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai, Talian Darussalam 123 (TD123) telah memperkenalkan dua saluran baru untuk orang ramai membuat aduan atau mengemukakan pertanyaan.

Saluran baru tersebut adalah ‘TD123 Mobile App’ dan ‘TD123 Live Chat’.

Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, ‘TD123 Mobile App’ membolehkan orang ramai untuk menghantar aduan melalui gambar, memantau status aduan, dan menerima notifikasi serta makluman melalui telefon pintar dan tablet.

Aplikasi tersebut disediakan bagi pengguna iOS dan Android dan boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play. Selain itu, melalui saluran ‘TD123 Live Chat’, orang ramai boleh menggunakan platform pesanan ‘Whatsapp’ untuk menghantar video dan gambar mengenai aduan atau pertanyaan kepada 8333123.

Kedua-dua saluran baru itu adalah tambahan kepada saluran yang sedia ada iaitu melalui panggilan telefon 123, e-mel info@123.com.bn, laman web www.123.gov.bn dan rangkaian media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

Talian Darussalam 123 merupakan pusat panggilan kebangsaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan yang berbentuk bukan kecemasan yang merangkumi pelbagai agensi kerajaan, iaitu perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Laut, e-Darussalam, PSC Recruitment dan OneBiz. Dari bulan Mac 2014 hingga September 2016, Talian Darussalam 123 telah menguruskan sebanyak 756,959 panggilan dengan jumlah purata sebanyak 24,000 panggilan sebulan.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini, orang ramai bolehlah melayari www.123.gov.bn atau menghubungi mana-mana saluran Talian Darussalam 123 yang sedia ada.

Courtesy of Media Permata
Attachments