Sign In
faceboook twitter instagram rss
Manage PermissionsManage Permissions
TD123 perkenalkan dua saluran baru
PENGARAH Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani pada sidang media mengenai Talian Darussalam 123 (TD123) yang memperkenalkan dua saluran baru untuk orang ramai membuat aduan atau mengemukakan pertanyaan.
Oleh:  Khartini Hamir Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas | Thursday, 27 October 2016 06:46


BERIBI, Rabu, 26 Oktober. - Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai, Talian Darussalam 123 (TD123) telah memperkenalkan dua saluran baru untuk orang ramai membuat aduan atau mengemukakan pertanyaan.

Menjelaskan mengenai perkara tersebut pada Sidang Media Mengenai TD123 yang diadakan petang tadi bertempat di Pusat Kebangsaan E-Kerajaan Negara Brunei Darussalam di sini ialah Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani.

Dua saluran baru tersebut jelas Dayang Mazriyani lagi, adalah menerusi aplikasi telefon bimbit 'TD123 Mobile App' dan 'TD123 Live Chat'.

Talian Darussalam 123 tambahnya lagi adalah merupakan pusat panggilan kebangsaan bagi perkhidmatan-
perkhidmatan kerajaan yang berbentuk bukan kecemasan yang merangkumi pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Perkhidmatan Elektrik; Kementerian Pembangunan; Kementerian Kesihatan; Jabatan Pengangkutan Darat; Jabatan Laut; e-Darussalam; PSC Recruitment dan OneBiz.

Dari bulan Mac 2014 hingga September 2016, Talian Darussalam 123 telah menguruskan sebanyak 756,959 panggilan dengan jumlah purata sebanyak 24,000 panggilan sebulan.

Tambahnya lagi kedua-dua saluran baru ini adalah tambahan kepada saluran yang sedia ada iaitu melalui panggilan telefon di 123; Emel (info@123.com.bn); Laman web (www.123.gov.bn); atau melalui rangkaian media sosial Facebook (www.facebook.com/td123bn); Instagram (@td123bn) dan Twitter (@td123bn).

Melalui saluran 'TD123 Live Chat', orang ramai boleh menggunakan platform pesanan 'Whatsapp' untuk menghantar video dan gambar mengenai aduan atau pertanyaan kepada 8333123.

Sementara, 'TD123 Mobile App' pula membolehkan orang ramai untuk menghantar aduan melalui gambar, memantau status aduan, dan menerima notifikasi serta makluman melalui telefon pintar dan tablet.

Aplikasi ini disediakan bagi pengguna iOS dan Android dan boleh dimuat turun daripada App Store dan Google Play.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini, orang ramai bolehlah melayari laman web www.123.gov.bn atau menghubungi mana-mana saluran Talian Darussalam 123 yang sedia ada.

Juga hadir pada sidang media berkenaan ialah Ketua Divisyen Pengurusan Perkhidmatan, Awang Haji Ibnu Khairinuddin bin Haji Awang Ibrahim dan Pengurus Perkhidmatan Talian Darussalam, Dayang Norramemi binti Sahari.

Courtesy of Pelita Brunei
Attachments